Assalamualaikum w.b.t, Salam sejahtera, Salam 1 Malaysia dan Salam 1 UiTM. Syukur kehadrat Ilahi kerana dengan izin-Nya laman sesawang Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban telah sedia untuk dilayari para pengguna. Setinggi-tinggi ucapan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menghasilkan laman web ini sama ada secara langsung ataupun tidak langsung. Diharapkan laman web ini dapat memberi sumber maklumat yang efektif untuk menjana kecemerlangan seluruh kakitangan dan pelajar Universiti Teknologi MARA khususnya di UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban.

Penubuhan laman sesawang UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban selari dengan visi UiTM iaitu menjadikan UiTM sebuah universiti unggul yang berteraskan kesarjanaan dan kecemerlangan akademik bagi menerajui dinamisme bumiputera dalam semua bidang profesional bertaraf dunia  supaya dapat melahirkan graduan yang berdaya saing, global dan beretika.  Selain itu, misi UiTM iaitu mempertingkatkan keilmuan dan kepakaran bumiputera dalam semua bidang menerusi penyampaian program profesional, penyelidikan serta penglibatan khidmat masyarakat yang berlandaskan kepada nilai-nilai murni dan etika keprofesionalan dapat diterapkan dengan kecanggihan teknologi maklumat dalam arus perdana pada masa kini.

Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban dibina melalui strategi Inisiatif Pembiayaan Swasta (PFI). Kampus seluas 38 ekar ini dibina pada 19 Januari 2011 dan siap sepenuhnya pada 19 Januari 2014. Kampus ini menempatkan seramai 3049 orang pelajar dari Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP), 1524 orang pelajar Fakulti Sains Komputer dan Matematik (FSKM) serta 736 orang pelajar Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSR). Antara kemudahan yang disediakan di kampus ini ialah kemudahan kolej kediaman bagi 2500 orang pelajar, Pusat Islam, Pusat Kesihatan dan Pusat Kegiatan Pelajar serta pelbagai kemudahan sukan.

Besarlah harapan saya agar laman sesawang Universiti MARA Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban ini dapat dimanfaatkan dengan sepenuhnya oleh siswa dan siswi supaya lahir graduan yang berdaya saing, dan berinovasi serta beretika. Saya juga berharap agar setiap warga universiti mengambil manfaat daripada laman sesawang yang dibangunkan ini untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran diri demi kecermerlangan Universiti Teknologi MARA Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban. Saya doakan agar segala usaha yang dicurahkan kearah mengangkat martabat UiTM untuk menjadi universiti bertaraf dunia menjadi realiti.

 

Prof. Madya Mohammad Nor Bin Othman

Penolong Rektor

UiTM Cawangan Negeri Sembilan, Kampus Seremban

FB: Penolong Rektor Seremban