18 MAC 2017- UiTM Cawangan Negeri Sembilan telah mengadakan Ekspo Selangkah Ke UiTM 2017  bertujuan mempromosikan kemasukan calon-calon ke UiTM dalam kalangan lepasan sekolah dengan memberi pendedahan untuk membuat pilihan yang tepat dan sesuai berdasarkan keputusan peperiksaan yang diperolehi.

Program ini juga bermatlamat memberi ruang kepada bakal pelajar UiTM untuk mengetahui secara keseluruhan program pilihan mereka dengan lebih teliti, sambil dibantu oleh para pensyarah dan kakitangan UiTM yang terlibat.

Program ini dirasmikan oleh Penolong  Rektor UiTM Cawangan Negeri Sembilan Kampus Seremban, Prof. Madya. Mohammad Nor Othman, turut dihadiri oleh kakitangan universiti, para pensyarah, ibubapa dan bakal mahasiswa. Skuad Hiruk yang terdiri daripada barisan penyampai radio Negeri FM turut meluangkan masa memeriahkan program yang berlangsung selama dua hari itu.

Ekspo Selangkah ke UiTM 2017 ini dilihat sebagai langkah strategik yang mampu menjadi satu mekanisme terbaik dalam menyalurkan informasi terkini dan tepat kepada lepasan SPM mahupun Matrikulasi. Dalam masa yang sama, ia akan meningkatkan kualiti akademik, selain mampu melahirkan golongan pelajar yang dapat membuat keputusan tepat dalam memilih program yang sesuai dengan kelulusan akademik dan minat mereka.