Seremban, November 19, 2016:

Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kampus Seremban telah mengadakan Karnival Sambutan 60 Tahun UiTM di sini. Karnival ini diadakan adalah sempena meraikan penubuhan UiTM yang ke-60 pada tahun ini.  Sambutan ulang tahun ini di raikan di semua cawangan UiTM seluruh Malaysia dengan pelbagai aktiviti di peringkat kampus. 

Karnival yang diadakan selama seminggu bermula dari 14 hingga 19 November ini bermatlamat untuk merapatkan jalinan di antara warga UiTM dan rakyat Negeri Sembilan khususnya. Pelbagai aktiviti menarik telah dirancang bagi menarik penduduk setempat di Negeri Sembilan khususnya di daerah Seremban. 

Pelbagai aktiviti dan program telah diadakan sepanjang minggu Karnival Sambutan 60 Tahun UiTM ini. Karnival membuka tirai dengan Program Misi XPDC 111116 iaitu Pendakian 60 Puncak bersempena dengan 60 tahun UiTM dimana semua pendaki dari semua kampus cawangan UiTM perlu sampai ke puncak serentak pada 11 November 2016 pada jam 11.00 pagi bagi mencatat Malaysia Book of Record. Bagi pasukan pendaki dari UiTM Negeri Sembilan, mereka telah memilih Gunung Nuang dan Gunung Besar Hantu sebagai puncak pilihan untuk ditawan.

Pelbagai pengisian program sepanjang minggu karnival dan turut mendapat kerjasama daripada Agensi Luar dan Jabatan–jabatan Kerajaan. Ianya termasuk pameran barangan kraf daripada Perbadangan Kemajuan Kraftangan Negeri Sembilan, Lembaga Muzium Negeri Sembilan, Pepustakaan Awam Negeri Sembilan serta Kolej Komuniti Rembau.

Pertandingan ‘Inter-School Choral Speaking’anjuran Akademi Pengajian Bahasa UiTM Negeri Sembilan turut diadakan bagi memberi peluang pelajar sekolah untuk merasai susasana di dalam kampus. Program yang mendapat sambutan yang menggalakkan dari sekolah-sekolah di Negeri Sembilan ini menyaksikan pasukan dari Kolej Tunku Kurshiah menjadi johan dalam pertandingan tersebut.

YB Dato' Dr. Haji Awaludin bin Said, Pengerusi Lembaga Pengarah Pusat Zakat Negeri Sembilan Merangkap, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri turut hadir merasmikan Program Kembara Sufi Cinta Ilahi dengan kerjasama Majlis Agama Islam Negeri Islam Negeri Sembilan (MAINS) yang telah melibatkan anak-anak asnaf di sekitar Negri Sembilan. Pada sebelah malam telah diadakan Majlis Tahlil Perdana dan Malam Cinta rasul yang turut diserikan dengan kehadiran Kumpulan Nasyid InTeam serta Sheikh Abdul Karim Al-Makki, Imam Masjid Negeri, Shah Alam.

Jabatan Perikanan Negeri Sembilan dan FAMA turut bekerjasama dengan UiTM Kampus Seremban dengan membekalkan sejumlah ikan keli dan tilapia serta peralatan untuk Pertandingan Memasak dan Pertandingan Memancing Tradisional. Antara aktivti lain yang turut diadakan sepanjang minggu karnival adalah Gotong-royong Perdana, Pertandingan Jaring dan Futsal, Festival Kebudayaan, Bengkel Keropok Lekor, Malam Kemuncak Inovasi dan beberapa aktivti sampingan yang lain.

Pada hari terakhir karnival, Forum dengan topik ‘Pedophilia Serta Kepentingan Pendidikan Seks’ telah dianjurkan melibatkan warga UiTM dan masyarakat setempat. Antara panel yang terlibat dalam forum berkenaan adalah Dr Dalila Roslan (Pegawai Perubatan Klinik Kesihatan Senawang), Prof Madya Dr Fairuz Nazri (Pakar Psikiatri PPUKM), Prof Madya Dr Ariza Mohamed (Pakar Perbidanan dan Sakit Puan UniKL) dan Prof Madya Dr Basri Ibrahim (Pensyarah Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Kontemporari, Unisza).

Sebagai penutup minggu Karnival, telah berlangsung Festival Sukaneka Sambutan 60 Tahun UiTM bertempat di padang UiTM Seremban. Festival sukaneka ini melibatkan penduduk-penduduk taman perumahan di sekitar Seremban bersama para mahasiswa. Festival Sukaneka ini bertambah meriah dengan kehadiran DJ Rosman dan DJ Aleen daripada Skuad Hiruk Negeri FM. Turut berlangsung pada hari yang sama adalah Kejohanan Golf UiTM - NS Tour 2016 di Seremban International Golf Club (SIGC).